HIT COUNTER

Wednesday, February 18, 2009

Jangan bermain dengan api

Ekonomi Melayu perlu diperkukuh dan diperkasakan melalui penyatuan kaumnya yang ramai bagi mengelak daripada terus dicemuh dan dipersenda oleh pihak lain yang hendak mengambil kesempatan.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, kebelakangan ini, terlalu banyak penghinaan yang dilemparkan terhadap orang Melayu seolah-olah mereka telah hilang punca dan maruah.

“Fakta dan sejarah seolah-olah menjadi alat mainan politik lalu Melayu dan pribumi ditempelak, dipertikai, dicemuh dan dihina.

“Ramai orang Melayu terasa tersinggung dengan luahan-luahan yang mempersenda bangsa mereka. Tetapi ramai pula yang terus dalam keadaan tidak kisah lantas membiarkan sahaja polemik pribumi ini dipermainkan di arena politik kelompok masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Program Wacana Isu Perundangan dan Hak-hak Pribumi Dalam Perlembagaan anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di Memorial Tun Hussein Onn, di sini hari ini.

Dalam hal ini, Rais yang juga ahli Majlis Tertinggi UMNO mengingatkan orang Melayu bahawa mereka tidak boleh terlalu bergantung kepada konsep ketuanan kerana ia lebih merupakan perasaan atau ego politik yang tidak disokong oleh kekuatan dalam perjuangan atau peruntukan Perlembagaan negara.

Katanya, laungan ketuanan Melayu seharusnya dilihat daripada sudut kebolehan dan kemampuan, merit dan dedikasi terhadap tugas serta tanggungjawab mahupun disiplin politik.

‘‘Setakat mempunyai hak-hak keistimewaan seperti terkandung dalam peruntukan 153 Perlembagaan atau setakat kedaulatan terhad Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, perkhidmatan awam yang majoriti Melayu, agama Islam sebagai agama rasmi – ini semua belum menjamin kekuatan semula jadi, jauh sekali mendaftarkan kekuatan Melayu itu sendiri,’’ tegasnya.

Justeru Rais berkata, orang Melayu perlu menghindari imej yang melemahkan perjuangan dan pada masa yang sama, bertindak apabila Melayu dan UMNO dicerca oleh politik luaran.

Rais berkata, fakta sejarah boleh dianggap sebagai faktor utama yang meneguhkan hujah bahawa orang Melayu adalah yang mula-mula mendiami Semenanjung Tanah Melayu.

Katanya, ia sama seperti India adalah negeri orang berketurunan India, Arab di Timur Tengah dan seperti negeri China dinamakan sedemikian lantaran bangsa Cina yang mendiami negara itu.

“Struktur dan susunan seperti ini terpakai dan diiktiraf di kebanyakan negara dan bangsa di dunia ini,” katanya.

Daripada aspek ekonomi, menurut beliau, keistimewaan orang Melayu dan bumiputera harus dilengkapi dengan perolehan dan kepakaran ilmu secara berterusan.

“Ekonomi bumiputera kini melebihi paras 30 peratus daripada segi perolehan aset. Malangnya, bumiputera masih dikatakan berada di tahap kurang 20 peratus. Mungkinkah kaedah atau cara kita membuat perkiraan silap?

“Mungkin juga kaedah pengumpulan data tidak memasukkan fakta-fakta wajib lain. Sebagai warga Malaysia, tidak salah jika cita-cita politik UMNO misalnya ingin mencapai 50 atau 60 peratus sejajar dengan populasi Malaysia diwakili Melayu dan pribumi,” katanya.

Beliau berkata, dari sudut berkenaan, jelas bahawa penggunaan kuasa politik selama ini kurang berjaya memperjuangkan kaedah dan mekanisme penyampaian Dasar Ekonomi Baru (DEB) walaupun daripada segi pembangunan, banyak kemajuan telah tercapai.

Justeru katanya, orang Melayu perlu menolak nisbah “sekurang-kurangnya 30 peratus” dan menggantikannya dengan setinggi-tinggi mungkin nisbah kekayaan negara untuk dimiliki oleh bumiputera.

Mengenai bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, Rais berkata, ia harus dijadikan bahasa ilmu, bukan setakat bahasa komunikasi dalam konteks kedudukannya sebagai bahasa rasmi negara.

Katanya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) boleh menjalankan usaha pemantauan dengan menguatkuasakan undang-undang berkaitan penggunaan bahasa kebangsaan dengan segera.

Sementara itu, hadir sama pada program wacana tersebut ialah Presiden Perkasa yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali dan Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Pembentang kertas kerja dan pembahas ialah Penasihat Perundingan Kebangsaan Melayu, Tan Sri Abd. Aziz Abd. Rahman; Pensyarah Undang-undang Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Shaik Mohamad Nor Alam; peguam Zainur Zakaria dan Abdul Halim Abdullah.

2 comments:

  1. ini saya copy & paste dari post di blog awal saudara.

    mmm, kembali kepada topik di atas. ya, ekonomi melayu memang perlu diperkasakan. tetapi tak semestinya kita perlu fallback kepada dasar2 seperti DEB dan lain2.

    walau apa dasar pun masih ada pro dan kontranya. ia adalah hakikat yang perlu diterima kerana maklumlah yang buat dasar pun manusia juga kan. kalau tak takkan la orang putih cakap “to err is human”.

    tetapi apa yang menyebabkan ekonomi melayu dipersendakan adalah antaranya disebabkan stereotipikal masyarakat melayu sendiri dalam berniaga misalnya. anda biasa dengar kan tentang orang2 yang nak cepat kaya melalui skim tertentu, perasaan hasad dengki, dan perkara2 stereotipikal yang lain. bukannya kata yang kaum lain pun tidak sedemikian, tetapi ia dah menjadi terlalu sinonim dan sebati dengan masyarakat kita. tak boleh dibayangkan pada zaman yang canggih ni pun benda2 tu masih lagi sinonim dengan masyarakat kita, namun ia adalah realiti. inilah yang saya boleh kelaskan sebagai resistance to change.

    itu belum lagi kita bualkan tentang budaya subsidi dan sikap pilih bulu. ini membuktikan yang masyarakat kita terlalu depend pada dasar2 tertentu dan terdapatnya golongan yang mengambil kesempatan pada setiap dasar. bagi mereka, kalau ada apa2 masalah, mereka akan fall back pada dasar2 tersebut, tak kiralah mereka berada di hierarki tertinggi mahupun terendah. tetapi hakikatnya sampai bilalah mereka tidak menghargainya dan kekal mengambil kesempatan. maksud saya ‘tidak menghargai’ disini bukanlah tidak menghargai dari segi menghargai perjuangan mana2 parti, tapi lebih kepada ‘take for granted’ sesuatu anugerah itu. sebagai ucapan berterima kasih tak perlu lah rtm atau tv3 datang temuramah dan mengucapkan terima kasih kepada si polan dan si polan. kan lebih baik mereka menjadi daya penggerak ekonomi itu sendiri dan give back kepada community, bukannya menjadi medium politik air liur.

    dan disebabkan inilah perkara ini dianggap enteng oleh setiap pihak, malah sesama kaum itu sendiri. bayangkan kaum sendiri tidak menghargainya dengan cara memberikan kembali apa yang diperolehinya kepada komuniti itu sendiri, ia membina satu bayangan yang tidak baik kepada kaum lain. memanglah, tidak seharusnya kita membezakan antara kaum dan ras kerana kita sepatutnya serumpun. tetapi dengan banyaknya ketidakwajaran dari peringkat tertinggi ke peringkat terbawah menyebabkan ramai yang refuse to. ditambah pula dengan ketidakseimbangan pecahan ekonomi menyebabkan kita semakin rapuh.

    lebih memburukkan keadaan, tiadanya ketelusan dan kejujuran dari pelbagai pihak menyebabkan kita masih di takuk yang masih belum boleh dianggap cukup membanggakan. birokrasi, sifat pilih kasih, kronisme, nepotisme, budaya mengharap subsidi, perasaan hasad dengki, tahyul, ketidakmahuan untuk berubah, menyebabkan kaum kita sendiri yang menggoyahkan integriti sesama kaum. salah kita juga.

    pada pandangan saya, jika ekonomi masyarakat melayu berjaya diperkukuhkan, barulah kita dapat berdiri sama tinggi dengan kaum2 yang lain. dan ia merupakan titik tolak kesepaduan sesama kaum. bila kita sudah mampu berdiri sama tinggi, kita tidak lagi perlu bertongkatkan subsidi dan dasar2 tersebut walaupun ia kekal ditawarkan, maka integriti kaum dapat dipulihkan melalui ekonomi. jika sekadar mendengar hujah tentang ketuanan melayu atau betapa melayu lah yang mulai mengukir sejarah di tanah air ini, sampai bila pun masyarakat kita takkan kenyang. namun kita tidak boleh menafikan sejarah. tapi sejarah juga membuktikan yang kita juga boleh menjadi hamba di tanah melayu sendiri walaupun kitalah melayu.

    masyarakat melayu suka berada di baris hadapan dalam berbicara mahupun bersuara. namun adakah mereka ini juga frontier di bidang ekonomi? ini membuktikan yang “action speak louder than words”. jangan sekadar “hangat hangat tahi ayam”.

    saya begitu berharap yang suatu hari nanti dasar2 yang berkaitan dengan ketuanan melayu hanya menjadi sebuah dasar yang masih wujud tetapi tidak dijadikan fall back kepada masyarakat kita. bagi saya bantuan2 dari dasar2 tersebut adalah umpama kronologi perjalanan hidup manusia. bayi bukannya lahir2 terus berlari, tapi takkanlah nak merangkak sampai bila2. kalau belum pandai mengayuh basikal bolehlah dipasang roda tiga, tapi kalau sudah pandai bolehlah kita menyimpan roda tiga itu. jangan dibuang pula, kelak boleh digunakan oleh yang lain.

    walauapapun, saya berfikir yang perbezaan antara kaum tidak seharusnya terjadi lebih2 lagi jurang di bidang ekonomi. ini hanya membuktikan yang semangat perkauman itu mengambialih dasar kita sendiri. jika kita anggap yang masyarakat melayu adalah masyarakat bermaruah maka kira sendiri tidak perlu terlalu bersikap perkauman kerana kita adalah masyarakat yang bertatasusila. namun begitu tidak dapat lagi dielakkan pertembungan antara kaum menyebabkan misi sebagai bangsa malaysia masih tidak begitu berjaya walaupun tercapai. letaknya salah itu adalah pada diri kita juga yang tidak mahu berubah. malah ia juga terletak pada pemimpin2 yang tidak berkesan membentuk perpaduan. tetapi saya juga melihat betapa dengan pertumbuhan ekonomi kita mampu mendekatkan jurang ekonomi lantas secara tidak langsung mengharmonikan hubungan antara kaum. ia mampu menjadi permulaan baru yang menguntungkan semua.

    selain itu harus diingat, pemikiran bahawa sesebuah kaum itu adalah superior adalah tidak betul. ia tidak lebih menjadi seperti pemikiran orang putih di zaman penjajahan mahupun pemikiran orang yahudi. sebagai umat Islam kita harus akur betapa dunia adalah sekadar pinjaman dan tidak dimiliki sesiapa. inilah sikap negatif yang dibenihkan sesetengah pihak sehingga menyebabkan keadaan kucar kacir demi ketaksuban dalam percaturan mereka. tak perlulah saya ceritakan mana2 peristiwa dan kronologinya, samada ia berlaku suatu ketika dahulu ataupun di hujung abad ke 20, samada dalam mahupun luar negara. saya juga tidak mahu mengatakan yang melayu adalah tidak lagi relevan pada zaman sekarang, tetapi melayu juga harus berubah seperti kaum2 yang lain kerana sememangnya lumrah manusia adalah berubah ke arah kebaikan. hijrah.

    jadi jangan bermain dengan api. tapi jangan pula mencurahkan petrol ke api. kadang2 kita pun tak sedar yang kita juga merupakan punca masalah. ye lah kita pun manusia jugak, mana ada yang sempurna. tapi dari ketidaksempurnaan kita itulah gunanya kita bersatupadu dan saling melengkapi.

    jadi instead of memperkukuhkan ekonomi melayu melalui penyatuan kaum, kita juga boleh mengambil pendekatan bahawa memperkasakan ekonomi melayu mampu menjadi titik tolak perpaduan antara kaum.

    ReplyDelete
  2. Saya bukannya tersangatlah ultra-melayu. Tetapi saya memperjuangkan nasib anak bangsa saya. Sebagai seorang cikgu, saya mewakili anak-anak remaja sekolah saya. Jikalau anda memperjuangkan slogan 1Malaysia, teruskan..., saya tidak melarang. Saya berjuang atas prinsip saya, dan anda berjuang atas prinsip anda. Pendekkan cerita, perjuanganku perjuanganku, perjuanganmu, perjuanganmu.

    ReplyDelete

Pages