HIT COUNTER

Sunday, April 12, 2009

Agenda Memajukan Bolasepak Malaysia

Saya bukan tidak berminat bercakap mengenai perkara ini tetapi oleh kerana ia melibatkan maruah negara di mata dunia maka saya sebagai rakyat biasa kena cakap jugala mengenai perkara ini. Agenda memajukan bolasepak ini perkara yang mudah. Kita hanya perlu menjaga kebajikan pemain-pemain kita sekarang ini. Gaji bulanan contohnya perlu dijaga. Hati pemain akan berasa gelisah jika gaji mereka tidak terjamin maka permainan mereka akan merosot. Maka adillah jika Harimau Muda diambil oleh Kementerian Belia dan Sukan. Jika pemain bermain di kelab atau negeri, kemungkinan besar gaji tak dapat itu mungkin. Saya telah berbual dengan seorang pemain. Gaji sampai tiga bulan tidak dibayar. Pemain kita ini macam pemain Somalia, miskin sampai hutang kereta pun tak mampu nak bayar kerana tiada jaminan seperti pejawat kerajaan. Maka kita perlu wujudkan juga jawatan pemain bolasepak berjawatan tetap dan diberi pencen kerana jaminan ini penting kerana mereka juga menjaga nama Malaysia di mata dunia. Kalah atau menang penting dan kebajikan pemain juga sama penting. Pengambilalihan pasukan Harimau Muda ini adalah langkah pertama, FAM mungkin tak mampu menjaga kebajikan pemain setiap negeri, apatah lagi kelab-kelab yang tidak ternama.

Mengenai kelemahan mental dan strategi pemain di peringkat antarabangsa, kita perlu mengambil idea daripada negara Jepun dan Korea Selatan. Mereka mengamalkan kamikaze dalam setiap perlawanan bolasepak. Tetapi pemain kita kamikaze balik katil. Tak salah kita menghantar pemain berumur 18 tahun lepasan SPM jika diujibakat dan diketahui staminanya yang masih kuat ke peringkat dunia melawan Amerika Syarikat. Bukan soal malu atau kekurangan pemain, tetapi dari umur tersebutlah pemain-pemain dari liga profesional seperti Liga Jepun, Liga EPL dan Liga Itali berkembang. Penggangguran di negara kita ini adalah tinggi, tak salah kita ambil remaja berumur 19 tahun, kita buat liga profesional atau akademi kelab yang diiktiraf dan diberi gaji yang terjamin. Bukan rakyat negara lain pun kita nak sokong, kalau bukan rakyat kita sendiri. Dari sekolah, guru yang telah mengenalpasti pelajar yang berkebolehan dan bagus, tetapi jurang antara FAM dan sekolah pun jauh. Pemain orang asli pun mempunyai bakat, tetapi bakat mereka terhenti setakat sekolah. Kenapa FAM tidak berfungsi begitu baik, sebab ketuanya bukan pakar bermain bolasepak. Apa salahnya letak orang pakar bolasepak sahaja, kerana hanya orang pandai bermain bolasepak tahu dunianya. Orang politik perlu diletak jauh daripada bidang bolasepak kerana banyak pengaruh akan mempengaruhi emosi pemain.

Bakat pemain dari kejohanan sekolah perlu dipantau sepanjang masa, setiap tahun mesti ada paling minimum seorang pemain yang hebat dihasilkan. Kerjasama guru sekolah dan pihak FAM perlu diperhebat. Saya sebagai guru pun tak tahu apa nombor telefon pejabat FAM. Kenapa begitu yek? Mungkin mereka menjaga prestij kot?. Tiada orang berani memilih pemain kebangsaan kerana hanya FAM yang layak, tetapi jurulatih-jurulatih sekolah tak layak. Tetapi daripada kamilah pemain berkembang, daripada sekolah lah pemain mula mengenal erti permainan bolasepak. Jika guru sekolah tidak memilih, maka bakat pemain akan terkubur begitu sahaja kerana sibuk sambung belajar atau bekerja. Permainan bolasepak ini bukan sahaja bila nak main, 2-3 minggu sebelum kejohananan baru nak latih, kena latihan dari umur 18 tahun lagi dan setiap hari perlu dijaga stamina dan makanannya. Pelajar kita ini kalau diberi jaminan selepas habis SPM dan bila bermain bolasepak dapat gaji hujung bulan, maka mereka akan gembira. Memanglah ada sudah konsep sekolah sukan Bukit Jalil dan Bandar Penawar, tetapi konsep ini perlu menyeluruh maksudnya daripada semua sekolah, kerana pemain sekolah luar bandar pun hebat, akademi pun penting, tetapi jika mereka lebih berjaya dalam bolasepak, maka kembangkanlah apa yang mereka hebat. Kita jangan mengharapkan SSBJ dan SSBP sahaja, kerana bakat ini anugerah Tuhan, maka mana-mana sekolah pun akan terhasil bakat baru.

Mengenai stamina pemain yang lemah, itulah perlu wujud akademi setiap negeri dan daerah yang bersifat profesional bukan main-main atau hangat-hangat taik ayam sahaja.

Pages