HIT COUNTER

Tuesday, August 24, 2010

Kualiti Pemain Badminton Muda Mesti Diasah dan Dijaga

Skuad badminton wajib mempunyai perancangan jangka panjang untuk menyediakan pasukan pelapis supaya skuad ini tidak kalah dalam pertandingan utama seperti Piala Sudirman, Piala Thomas, Olimpik dan Kejohanan Dunia. Dalam pemerhatian saya sekarang, skuad badminton sekarang yang diutamakan adalah merupakan skuad kuda tua yang tiba masa hendak disembelih sahaja. Contoh terbaik pemain bernama Wong Choon Han yang masih dikerah bermain semasa Piala Thomas dimana Malaysia menjadi tuan rumah. Saya berasa amat malu ketika mana skuad ini dikalahkan oleh negara China pada perlawanan separuh akhir. Biarpun kalah, tetapi kita mesti kalah bermaruah, tetapi apa ada pada tenaga kuda tua? Adakah kita kehabisan idea untuk melahirkan pemain baru atau BAM kecut untuk mengeluarkan pemain baru atau pemain muda untuk bersaing dengan pemain dunia seperti Lin Dan atau Bao Chunlai? Masalah takut atau malu adalah perkara kedua tetapi pendedahan setiap kejohanan bulanan itu adalah penting. Kalah ketika kejohanan Grand Prix itu adalah lumrah tetapi kalah ketika kejohanan utama seperti Piala Thomas adalah amat memalukan. Ketika kemuncak pemain kita adalah kejohanan dunia remaja kerana ramai pemain kita menjadi johan pada kejohanan terbabit tetapi sayang bakat mereka disia-siakan. Ini kerana mereka tidak dilatih oleh jurulatih yang ternama sejak dari awal lagi. Pemain muda ini perlu diberi ilmu antarabangsa atau pendedahan bagaimana latihan pemain Lin Dan dilaksanakan. Pendedahan awal ini amat penting kerana bakat mereka sentiansa dikawal dan di’polish’ supaya pemain-pemain lama dapat diganti suatu hari nanti. Kita jangan sentiansa membuat eksperimen waktu Piala Thomas sahaja tetapi mengetepikan terus pemain-pemain remaja yang ada ini. Lagi satu, kekerapan mengadakan kursus motivasi untuk pemain muda ini perlu dilakukan untuk memastikan pemain-pemain muda ini tidak mengalami ‘moral down’ atau hilang semangat untuk mewakili negara kerana hanya pemain itu-itu sahaja yang mewakili negara. Memang kita akui ramai pemain muda yang tidak dapat meyaingi pemain yang handal sekarang tetapi masa akan dapat mengalahkan mereka nanti kerana pemain muda ini akan menjadi penganti mereka.
Pemilihan pemain muda yang mewakili ke peringkat luar negara seperti Terbuka Indonesia dan Vietnam mestilah adil dan bukan berdasarkan ranking sahaja kerana kita hendak menyediakan platform untuk mereka supaya tidak ketinggalan dari segi skil permainan atau ketajaman yang mesti diasah dari masa ke masa. Pemain seperti Tan Boong Heong adalah bukti hasil pemain muda yang dijaga sepenuhnya tetapi apa jadi dengan pemain perseorangan yang lain seperti Hafiz Hashim? Kekuatan mental sahaja bagi pemain kita ini tetapi kekuatan fizikal juga memainkan peranan penting kerana badminton memerlukan stamina yang tinggi. Jadi tenaga pemain muda wajib dicari dan dipertonjolkan. Sepatutnya kejohanan domestik mestilah mengasingkan pemain lama dan pemain muda supaya tidak menenggelamkan bakat pemain baru. Ini dapat meramaikan bakat baru kerana mereka tidak takut turun ke gelanggang. Kekuatan pemain lama dijaga, disamping mencerahkan ruang untuk pemain muda menjelang kejohanan luar negara.
Kekuatan mental adalah penting untuk permainan badminton. Seperti Lin Dan, beliau diasak minda dan fizikal dari hari ke hari untuk kejohanan yang utama sahaja. Kenapa? Kerana menjaga nama negara China, kuasa Tembok Besar. Mereka tidak mahu Lin Dan dimalukan pada kejohanan yang lebih rendah bukan kerana takut rankingnya jatuh tetapi menjaga maruah itu adalah lebih penting. BAM sepatutnya mengadakan pencarian bakat seluruh negara dan bukan bergantung kepada bakat yang ada sahaja sekarang kerana saya percaya kita memiliki begitu ramai pemain muda yang dipendam bakat mereka. Pemain muda masih mempunyai mental dan fizikal yang kuat. Mereka mungkin suatu hari nanti dapat menandingi bakat pemain yang handal sekarang.

Saturday, August 21, 2010

MERDEKAKAH AKU?

MERDEKAKAH AKU

Merdekakah aku,
tapi ekonomi masih menjunjung KFC, MC'Donald dan BP,
sekian lama membelit setiap urat inci bumiku,
tiada ada rasa malu orangku memasukinya,
dulu dijajah terang-terangan,
sekarang dijajah sulit-sulitan,
aku rasa batin Malaysia disiat-siat,
sehinggakan Tugu Negara hanyalah tugu,
tanpa penghormatan, tanpa belaan.

Merdekakah aku,
Setiap bicara ada slang, ada bahasa yang asing,
Yang panjang dipendekkan,
Yang indah dibasikan,
Yang tajwid diremehkan,
Bahasa ini bukan jiwa bangsa,
Tetapi jiwa yang kacau dan bergelora,
Tiada pedoman.

Merdekakah aku,
Yang miskin semakin miskin,
Yang kaya semakin kaya,
Yang diam semakin bising,
Yang bising semakin diam,
Peri perpaduan setipis benang,
Ibarat bawang di hujung pisau,
Jangan mudah lupa,
13 Mei mudah berulang.

Merdekakah aku,
Hijau, kuning ka merah?
Tarik, tolak dan tekan...
Menemani setiap stesyen minyak,
Berliku di tepi gelandangan kilang,
Bermaharajalela di Pasar Seni,
Berhari raya di KLCC,
Tiadakah rakyatku?

Merdekakah aku
1Malaysia dicanang,
Cina 1, India 1, Melayu 1, Kadazan 1, Iban 1,
Semuanya 1 dalam ramai,
Segala musuh luar dihadapi bersama,
Satu bahasa, satu makanan, satu negara,
Merdekakan negaraku.

Saturday, August 14, 2010

Swastakan sepenuhnya pembinaan jalanraya negeri/domestik kepada jurutera import

Sistem pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya domestik atau jalan raya negeri mesti diswastakan atau diberikan kepada pihak luar untuk memastikan tender yang dilelong adalah lebih telus dan menjamin kualiti jalan raya selain mengelak kemalangan dan kereta rosak. Kualiti jalanraya kelas 3 ini adalah tidak sesuai bagi negara yang akan membangun seperti Malaysia kerana imej yang tidak sesuai kepada pelancong. Ini belum jalan raya di kawasan pedalaman. Amat mengecewakan sekiranya kita pergi ke kawasan pelancongan di seluruh Malaysia termasuklah di dalam Pulau Langkawi sendiri, jalanrayanya tidak diselenggara dengan baik atau dibina dengan sistem pemampatan yang betul.
Kaedah menampal dan jalanraya yang rendah atau separas dengan muka bumi Malaysia yang beralun-alun adalah sudah ketinggalan zaman. Sudah tiba masanya kerajaan mengambil jurutera daripada luar negara untuk mengambil pilihan baru untuk membina jalanraya yang canggih dan selamat untuk pengguna untuk selama 100 tahun berbanding pihak berkuasa tempatan yang membuat penampalan jalanraya setiap 10 tahun sekali supaya ada modal atau kos apabila dirungut oleh orang ramai. Memang kita akui jalanraya kita memang banyak dilalui oleh pengangkutan berat seperti lori dan treler, tetapi mengapa jalanrayanya tidak disuaikan dengan berat kenderaan tersebut kerana ia akan menyebabkan gegaran dan seterusnya jalanraya tersebut berpecah dan menjadi lubang serta menyebabkan kenderaan ringan seperti kereta dan motorsikal mempunyai masalah tayar dan rim tayar untuk melaluinya terutamanya yang hanya menggunakan jalan raya tersebut mengikut kadar harian. Adakah ini adil untuk rakyat? Adakah ini baik untuk imej negara? Adakah kerajaan sedar tentang masalah ini atau mereka pura-pura buat tidak tahu? Adakah kerajaan kita tidak berupaya membina jalanraya yang berkualiti untuk rakyatnya sendiri?
Kita ambil contoh sistem jalanraya di negara Jepun. Mereka mempunyai bilangan kenderaan yang lebih banyak di atas jalanraya tetapi mengapa mereka mempunyai kadar kemalangan yang lebih kurang berbanding kita, negara yang masih membangun berbanding mereka yang agak padat dan sesak? Mestilah ada sebab dan alas an bagi soalan diatas. Paling jelas apabila kita belajar memandu di Sekolah Memandu, mereka menyatakan faktor kemalangan yang paling kerap adalah keadaan jalanraya. Sampai begitu mereka mengakui keadaan jalanraya juga diambil sebagai faktor kemalangan. Adakah kerajaan membaca modul yang dikeluarkan oleh Sekolah Memandu ini? Adakah kerajaan perasan jalanraya yang dilalui mereka di Putrajaya yang kian hari kian binasa? Jangan sedap datang bermain gendang di tempat orang, tetapi balik rumah dah tak ingat apa irama gendang yang dipermainkan tadi.

Wednesday, August 11, 2010

Teknologi Nuklear kuasai dunia, ganti minyak dan elektrik



Penguasaan teknologi nuklear adalah penting untuk kita menyaingi negara-negara yang maju dan boleh mengelakkan kita terus ditindas oleh negara-negara yang berkuasa besar. Penguasaan nuklear juga menjimatkan penggunaan elektrik di seluruh negara. Ini yang dimahukan oleh kerajaan yang kini kehabisan wang. Tenaga nuklear adalah pengganti kepada sumber tenaga mentah seperti empangan hidroelektrik yang mempunyai kos tinggi dan menghancurkan alam sekitar, jadi jika kita menggunakan tenaga nuklear kita telah menyelamatkan beribu-ribu pokok dan sungai yang menjadi zon penampan kepada kawasan tadahan air dan menyuburkan hutan sekitar.
UKM memiliki Jabatan Sains Nuklear, yang menawarkan program sains nuklear di peringkat sarjana muda hingga Doktor Falsafah. Manakala UPM ada memawarkan program yang berkaitan pengunaan teknik-teknik nuklear di beberapa fakultinya. Di peringkat pengajian lebih tinggi (MSc dan PhD), universiti-universiti berkenaan ada menawarkan penyelidikan berkaitan teknik nuklear ataupun menggunakan teknik nuklear, yang diaplikasi kepada bidang alam sekitar, perubatan, pertanian atau industri, dan juga penyelidikan fundemental. Kebanyakan penyelidikan untuk ijazah MSc dan PhD dilakukan secara kolobratif dengan Institut Penyelidikan Teknologi Nuklear Malaysia (MINT) atau hospital atau pusat penyelidikan lain.

Dengan tinjauan rambang ini boleh dibuat kesimpulan bahawa, IPTA di Malaysia tiada menyediakan program-program yang menjurus kepada penyediaan tenaga manusia, tenaga mahir dan ahli teknologi dalam bidang Teknologi Nuklear. Walaupun tiada data dimiliki penulis, namun dipercayai bahawa pakar-pakar dalam bidang Teknologi Nuklear di Malaysia adalah mendapat latihan dan didikan di luar negara. Hal ini bukanlah suatu yang baik dari sudut perancangan strategik masa depan Malaysia dalam menghadapi cabaran globalisasi.

Selain isu ketiadaan penawaran program Teknologi Nuklear, isu berkaitan calon atau pelajar yang akan mengikuti program tersebut juga perlu di pertimbangkan. Penawaran program atas dasar ‘strategik’ sahaja bukanlah sesuatu yang baik sama ada kepada pelajar atau pun universiti, kerana ia membabitkan kos kewangan, insan dan kemudahan universiti. Graduan yang dihasilkan haruslah dapat berperanan dalam bidangnya, jika tidak keadaan yang dihadapi Amerika Syarikat berkaitan penurunan bilangan calon yang menjurus dalam bidang Teknologi Nuklear akan dihadapi (Wogman et al., 2005).
Dari segi polisi politik, Malaysia memang menentang pembangunan dan penggunaan senjata nuklear. Penjanaan tenaga untuk domestik dan industri melalui loji tenaga nuklear sebagai sumber tenaga alternatif yang lestari juga tidak menjadi agenda yang dibincang di peringkat umum di negara kita ini. Lantaran itu sokongan dan keinginan politik terhadap pendidikan teknologi nuklear di IPTA tempatan seolah-olah tidak wujud sejak hampir 30 tahun selepas penubuhan PUSPATI (kini dikenali sebagai MINT). Semua ini telah mendorong beberapa generasi pelajar beranggapan bahawa teknologi nuklear bukanlah bidang yang mampu menjamin kerjaya masa depan yang cerah. Mungkin ini benar dan masih relevan sehingga beberapa tahun yang lalu.

Berbagai peristiwa yang terjadi akhir-akhir ini, seperti globalisasi, kenaikan harga petrolium, peningkatan penggunaan teknik nuklear dalam berbagai bidang strategik seperti kesihatan, pertanian, ketenteraan dan penyelidikan berprestasi tinggi telah mengubah senario. Permintaan guna tenaga pakar dalam bidang teknologi nuklear dijangka akan diperlukan, setidak-tidaknya bagi mengekal dan membekal keupayaan genting (critical capabalities) agar boleh berdaya saing. Kuasai nuklear, kuasai ekonomi, kuasai Amerika dan menyebabkan Israel gerun.

Pages