HIT COUNTER

Sunday, May 9, 2010

Perjuangan Sang Maharajalela

J.W.W. Birch,
Sering kau tidak senada dan seirama dengan keributan sungai Perak,
Angkuhmu bisa melakar seteru berdarah,
Langkahmu penuh berhati-hati,
Cuma masa merangkak perlahan,
Setitis darahmu jangan jatuh di tapak tanah ini,
Kerana Daulat Sultan tidak mengizinkannya.

J.W.W. Birch,
Ketuananku tidak bisa kau sentuh,
Lemah lesu sekalipun urat nadiku tanah ini tidak akan kurangi seinci,
Biarlah anak cucuku tahu bahawa inilah perjuanganku,
Kirimkan salamku kepada Queen Elizabeth tapi bukan kamu pengutusnya,
Kerana udara di sini belum layak kau hirup,
Diammu sini kerana aku benarkan,
Nyah kau atau darah putihmu mengalir deras di Sungai Perak.

J.W.W. Birch,
Lepaskan segala apa yang kau idamkan,
Kerana bumi ini tidak akan sesekali dipijak oleh orang luar,
Kerana kau tidak memahami apa yang kami junjung,
Kerana Sungai Perak tidak seirama dengan sampanmu,
Kau datang umpama kayu orang-orang sahaja,
Selayaknya dihalau seperti gagak melintas lalu,
Biar berputih tulang jangan putih mata,
Biar gagak di rimba jangan merak di kayangan,
Biar keris bersilat jangan senapang menembak,
Jika kau faham salahsilah kami,
Silalah beransur lalu sebelum kami membujur lalu, melintang patah.

J.W.W. Birch,
Kuning emas belum perlu dilemak dengan Jack Union,
Cukai padi belum perlu dibayar dengan darah,
Entahkan bila kau tiba,
Kau melontar onar dalam belukar kami,
Entahkan bila kau nyah,
Kau menyimbah arak dalam api.

J.W.W Birch,
Mungkin makammu belum siap dipahat,
Kertas perjanjian kau lampiaskan pada Paduka kami,
Sembah kau tidak menyentuh bumi,
Tapi remang dahi yang kau sentuh,
Belum tentu kau mendamai api yang telah kau nyalakan.

J.W.W. Birch,
Selamat tinggal kuucapkan.

No comments:

Post a Comment

Pages